Tangisi pemergian insan tersayang secara keterlaluan perlakuan orang jahiliah, haram HAMPIR sebahagian besar di antara kita pernah merasai kehilangan insan tersayang. Ada yang bersedia, ada tidak menduga, yang pasti tiada siapa gembira kerana pemergian mereka yang dikasihi adalah kepulangan yang hakiki dan tidak akan kembali ke dunia lagi. Kematian, iaitu berpisah nyawa daripada roh dan jasad adalah satu penghijrahan abadi dari alam dunia ke alam barzakh, iaitu satu penempatan yang dipenuhi dengan roh orang yang sudah meninggal dunia dan sedang menunggu untuk dibangkitkan semula dan berkumpul di Padang Mahsyar. Di situlah nanti perhitungan akan dilakukan untuk menentukan kehidupan yang kekal, yang tiada akhirnya lagi. Setiap Muslim perlu memahami bahawa kematian adalah sesuatu yang pasti, malah setiap kejadian di muka bumi ini akan musnah apabila tiba masanya. Tidak ada apa yang kekal di dunia melainkan Yang Maha Pencipta kerana Dialah yang berkuasa atas segala-galanya. Allah SWT berfirman dalam Surah Ali Imraan, ayat 185 yang bermaksud: "Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati dan bahawasanya pada Hari Kiamat sajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga, maka sesungguhnya ia sudah berjaya. Dan ingatlah bahawa kehidupan di dunia ini meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang yang terpedaya." Tangisan bukanlah luar biasa untuk menzahirkan kesedihan, malah itulah yang sedikit sebanyak meredakan kepiluan tetapi umat Islam tidak boleh meratapi kematian. Diriwayatkan daripada Anas bahawa apabila Rasulullah SAW melihat Ibrahim, putera kesayangan baginda menghembuskan nafas yang terakhir, air mata Rasulullah mengalir deras. Lalu Abdurrahman bin Auf pun bertanya: "Mengapa engkau menangis wahai Rasulullah?" , Baginda menjawab: "Wahai Ibnu Auf, ia adalah air mata rahmat". Kemudian Rasulullah SAW menyambung: "Sesungguhnya mata itu dapat menitiskan air, hati dapat bersedih dan kami tidak mengatakan sesuatu kecuali yang diredai oleh Allah. Kami sangat bersedih kerana berpisah denganmu wahai Ibrahim (Muttafaq `alaih)." Sering kali apabila mengetahui mengenai sesuatu kematian, kita akan menziarahi keluarga si mati dan sudah tentulah kita mendoakan agar roh si mati dicucuri rahmat, keluarga dan kaum kerabatnya dilimpahi pahala yang berganda serta digantikan dukacita itu dengan sebaik-baik hiburan. Antara ucapan yang sering diucapkan ialah "mudah-mudahan Allah Taala membalas kepadamu dengan pahala yang berganda-ganda dan diperelokkan dukacita dengan sebaik-baik hiburan serta diampunkan akan si mati daripada keluarga kamu." Perlu diingatkan bahawa meratapi dan menangisi kematian secara keterlaluan seperti tidak meredai apa yang ditakdirkan Allah SWT adalah satu perlakuan orang jahiliah dan diharamkan dalam Islam. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Dari Abdullah r.a katanya: Telah bersabda Nabi SAW: "Tidak termasuk golongan kami orang yang memukul-mukul pipi, mengoyak-ngoyak baju dan berteriak-teriak seperti berteriaknya orang jahiliah." (Riwayat Al-Imam Bukhari). Tidak sia-sia orang yang turut berkongsi duka dan mengucapkan takziah kepada keluarga si mati kerana Allah SWT turut memberi ganjaran sama seperti orang yang sedang bersedih kerana kehilangan ahli keluarga. Yang lebih baik, dihadiahkan bacaan ayat Al-Quran dan Yasin serta tahlil kepada si mati semoga Allah mengurniakan rahmat. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Dari Abdullah r.a katanya: Telah bersabda Rasulullah SAW: "Siapa yang mengucapkan takziah kepada orang yang ditimpa musibah, maka dia memperoleh pahala seperti pahala orang yang mendapat musibah." (Riwayat Al-Imam Ibnu Majah). Orang yang bersabar menghadapi kematian adalah orang yang sentiasa berada di bawah perlindungan Allah. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah, ayat 156-157 yang bermaksud: "Orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali. Mereka itu ialah orang yang dilimpahi dengan pelbagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya. Dan mereka itulah orang yang dapat petunjuk hidayahNya." Yang masih hidup, kematian sepatutnya menjadi iktibar untuk a sentiasa beringat mengenai kehidupan yang sementara, cuma tiada apa yang dibanggakan dengan kehidupan dunia, sebaliknya ibadah dan takwa juga yang merencanakan kebahagiaan di akhirat sana. Penulis ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia, kini melanjutkan pengajian di United Kingdom
No comments:
Post a Comment